Assalamualaikum & Selamat Sejahtera...

Sekapur Sireh

Assalamualaikum... Salam hormat, pembuka bicara... Blog Cakna Bahasa dicipta dengan tujuan berkongsi apa sahaja yang berkaitan dengan Bahasa Melayu. Sebarang komen dan cadangan daripada anda amatlah diharapkan. Terima kasih.

Saturday 10 November 2012

Posted by jinson on 01:45 No comments
BERITA 1

Baca berita di bawah ini, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

TAPAH, Jumaat – Suatu program motivasi bertajuk “ Jati Diri Remaja ” telah dianjurkan oleh Kelab Rakan Muda Daerah Batang Padang. Program  yang disertai oleh 120 orang peserta itu telah diadakan di Lata Kinjang. Separuh daripada peserta adalah ahli Kelab Remaja Daerah Batang Padang, manakala separuh lagi adalah pelajar daripada beberapa buah sekolah di daerah ini.

          Program tersebut  diadakan adalah untuk  memberikan pendedahan kepada peserta tentang peranan remaja terhadap pembangunan negara. Selain itu, program ini dapat juga mengisi masa cuti para pelajar dengan kegiatan yang berfaedah serta dapat memupuk semangat kerjasama antara mereka.

          Selama empat hari program ini berjalan, pelbagai aktiviti  yang menarik dijalankan. Antaranya termasuklah sesi latihan dalam kumpulan, ceramah, sukan, dan kegiatan kembara. Menerusi kegiatan seumpama ini para peserta dapat membina keyakinan diri, berfikir secara kritis dan kreatif, serta menyelesaikan masalah dengan bijak.

          Program ini selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan generasi pemimpin yang berwibawa dan berwawasan. Selain itu, program seumpama ini diharap dapat membantu mengurangkan gejala penyakit sosial yang semakin serius dalam kalangan remaja.

          Secara keseluruhannya, program ini memberikan faedah yang besar kepada para peserta. Bertepatan dengan slogan “ Remaja Hari ini Pemimpin Hari Esok ” para peserta dapat didedahkan kepada asas-asas kepimpinan dengan berkesan.


1.       Perkataan gejala dalam petikan bermaksud…

A.   sikap
B.    amalan
C.    kelakuan
D.   tanda-tanda

2.       Pilih penyataan yang tidak benar.

          A.   Seramai 120 peserta terlibat.
          B.   Program tersebut dijalankan selama seminggu.
          C.   Para peserta terdiri daripada pelajar beberapa buah sekolah.
          D.   Program motivasi itu diadakan berhampiran kawasan air terjun.

3.       Peserta program didedahkan dengan kemahiran tentang …

A.   semangat kerjasama
B.    latihan dalam kumpulan dan ceramah
C.    sukan, kegiatan kembara dan menyelesaikan masalah
D.   membina keyakinan diri, berfikir secara kritis dan kreatif dan menyelesaikan masalah

4.      Mengapakah Lata Kinjang dipilih sebagai tempat untuk menjalankan program ini?
         
A.   Kawasan berhampiran dengan sumber hutan.
B.    Mempunyai kemudahan asas yang memberi keselesaan.
C.    Suasananya damai dengan udara yang nyaman.
D.   Sesuai untuk perkelahan dan membawa keluarga untuk mandi-manda.

5.       Apakah kesan yang mungkin dirasai oleh para peserta setelah mengikuti program tersebut ?

          A.   yakin terhadap kebolehan diri sendiri
          B.   yakin akan menjadi seorang pemimpin
          C.   sukar menyelesaikan masalah yang dihadapi
          D.   tidak suka mengambil tahu masalah orang lain


BERITA 2
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

TELUK INTAN, 7 Januari 2007 - Lebih kurang 480 anggota keluarga Yeob Majeleh telah mengadakan pertemuan keluarga sempena sambutan Aidiladha di Dewan Peladang, Kampung Air Hitam dekat sini, semalam.

           Pertemuan keluarga ini bertujuan untuk menjalin dan mengeratkan silaturahim. Kenal-mengenali antara satu sama lain serta menguatkan ikatan keluarga terutamanya kepada generasi muda yang mungkin tidak pernah bersua muka sebelum ini. Penasihat majlis perjumpaan dan pertemuan keluarga tersebut, Dato’ Hambal bin Yeob Majeleh berkata, pertemuan keluarga Yeob Majeleh yang julung kalinya diadakan ini dapat merapatkan hubungan yang lebih erat antara generasi muda dan generasi tua keluarga tersebut.

           Dato’ Hambal yang merupakan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kanan Negeri Perak berkata, Allahyarham Yeob Majeleh bin Pandak Mohid mempunyai lapan belas orang anak. Beliau pula mempunyai tiga orang isteri. Hubungan keluarga adik-beradik ini tidak begitu rapat kerana masing-masing membawa haluan hidupnya sendiri. Perjumpaan dan pertemuan ini direncana bagi mengukuhkan dan memantapkan ikatan kekeluargaan seluruh anggota keluarga Yeob Majeleh.

           “Apabila pertemuan ini diatur saya bersyukur dapat bertemu dan mengenali adik-beradik saya termasuk cucu dan cicit yang selama ini tidak mengenali mereka dengan lebih rapat,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis itu. Menurutnya, pertemuan keluarga Yeob Majeleh sebagai titik tolak jalinan ikatan persaudaraan bertambah kukuh buat selama-lamanya.

           Jelasnya, pertemuan itu telah dihadiri oleh anak dan menantu Yeob Majeleh. Setakat ini keluarga tersebut mempunyai 31 orang menantu, 298 orang cucu dan 153 orang cicit. Menurut beliau pertemuan itu lebih menarik kerana kesemua anggota keluarga Yeob Majeleh telah bersetuju untuk menubuhkan Persatuan Ikatan Keluarga Yeob Majeleh. Perjumpaan ini nanti akan menjadi perjumpaan bersiri.

           Menurutnya lagi, satu laman web tentang salasilah keluarga tersebut akan dibangunkan dan buletin keluarga akan diterbitkan. Anak cucu Yeob Majeleh juga mempunyai kepakaran serta kebolehan untuk membina dan membangunkan laman web itu nanti. Dengan wujudnya laman web itu, mudahlah anggota keluarga Yeob Majeleh berhubung melalui internet pada ruang berborak.

           Menceritakan asal-usul keluarga tersebut Dato’ Hambal berkata, ayahnya berasal dari Kampung Teluk Pedayung, Mukim Lambor Kanan, Parit. Yeob Majeleh pernah menjadi guru agama di kebanyakan surau dan masjid di Daerah Perak Tengah. “Sehingga saat ini, kami masih mempunyai empat belas orang adik-beradik. Empat orang daripadanya telah meninggal dunia. Seorang daripada tiga isterinya masih hidup,” ujar Dato’ Hambal yang juga anak kelima daripada isteri pertama Yeob Majeleh.


1

Bilakah perjumpaan keluarga Yeob Majeleh itu diadakan?

A
6 Januari 2007

B
7 Januari 2007

C
8 Januari 2007

D
9 Januari 2007



2

Apakah hasrat dan tujuan utama perjumpaan dan pertemuan ahli keluarga Yeob Majeleh ini diadakan?

A
Bagi menerbitkan buletin dan membangunkan laman web

B
Bagi mengukuhkan dan memantapkan ikatan kekeluargaan    

C
Bagi merapatkan hubungan generasi muda dan generasi tua

D
Bagi mengenal pasti adik-beradik atau keluarga yang masih hidup


3

Semua kenyataan di bawah adalah benar tentang Yeob Majeleh Pandak Mohid, kecuali

A
pernah bernikah sebanyak tiga kali

B
mempunyai lapan belas orang anak

C
cucu dan cicitnya seramai 480 orang

D
dilahirkan di kampung teluk pedayung


4

Siapakah yang melaporkan berita perjumpaan keluarga ini kepada pihak akhbar?

A
Cicit Yeob Majeleh

B
Isteri Yeob Majeleh

C
Anak Yeob Majeleh

D
Cucu Yeob Majeleh


5

Di manakah perjumpaan dan pertemuan keluarga Yeob Majeleh itu diadakan?

A
Di Dewan KAFA, Kampung Air Hitam

B
Di Dewan Bacaan, Kampung Air Hitam

C
Di Dewan Peladang, Kampung Air Hitam

D
Di Dewan Orang Ramai, Kampung Air Hitam



BERITA 3

TELUK INTAN  , 15 April 2006 – Rumah Laksamana muncul sebagai juara bagi tiga tahun berturut-turut sempena Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Perwira. Sukan kali ke-6 ini berlangsung dalam suasana yang gilang–gemilang, semalam.
   
      Buat julung kalinya, sukan ini diadakan di Stadium Mini Teluk Intan bersebelahan dengan Dewan Bandaraya Teluk Intan. Walau bagaimanapun, sesi latihan telah diadakan di padang sekolah bermula 2 April yang lalu .
   
      Sukan pada kali ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Onn bin Haji Hamzah selaku wakil rakyat di kawasan ini. Turut serta dalam temasya pada kali ini ialah para guru besar dari sekolah yang erdekatan serta ketua masyarakat setempat.
    
      Tuan Guru Besar dalam ucapan alu-aluannya mengharapkan sukan kali ini dapat memupuk semangat juang, semangat berpasukan serta semangat kerjasama dalam kalangan murid. Selain itu, beliau berharap agar dapat mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan dalam kejohanan peringkat kelompok, daerah maupun negeri .
     
       Sukan pada kali ini menampilkan kelainan dengan mengadakan pertandingan perbarisan serta rumah sukan tercantik. Sementara itu, acara olahraga berupa larian 100 meter, 200 meter serta acara padang seperti lompat tinggi dan lompat jauh turut mendominasi kejohanan .
        
         Temasya pada tahun ini banyak menampilkan bakat baru untuk diketengahkan. Antaranya, Muhaimin bin Hakimi yang memecahkan rekod Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hilir Perak dalam acara larian 100 meter dan 200 meter .

          Pada akhir temasya , Rumah Bendahara muncul naib johan diikuti Rumah Temenggung dan Rumah Bentara. Sementara itu Mohd Amirul bin Mohd Fauzi dan Noratailah binti Ariffin dari Rumah Laksamana telah terpilih sebagai olahragawan dan olahragawati sekolah tahun 2006. Mereka akan mewakili sekolah ke kejohanan peringkat daerah yang akan diadakan pada  20 Mei hadapan, juga di tempat yang sama.


1.
Peristiwa apakah yang diceritakan dalam teks tersebut ?


A.
Rumah Laksamana muncul juara
B.
Peristiwa yang gilang-gemilang
C.
Sukan Tahunan SK Perwira
D.
Rumah Bendahara muncul naib juara


2.
Bilakah peristiwa tersebut berlangsung ?


A.
2   April 2006
B.
14 April 2006
C.
15 April 2006
D.
20 Mei 2006


3.
Siapakah yang merasmikan temasya tersebut ?


A.
Guru Besar SK Perwira
B.
Yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru
C.
Wakil rakyat
D.
Pegawai Pelajaran Daerah Hilir Perak


4.
Apakah harapan utama guru besar terhadap temasya tersebut ?


A.
Mewujudkan kelainan dalam pertandingan
B.
Mendapat sambutan yang menggalakkan
C.
Memupuk pelbagai nilai positif
D.
Mencungkil bakat-bakat baru


5.
Penyataan yang berikut benar tentang temasya tersebut , kecuali


A.
Rumah Laksamana merangkul beberapa anugerah utama
B.
Muhaimin memecahkan rekod daerah dalam acara pecut
C.
Rumah sukan dinamakan mengikut nama jawatan dalam istana
D.
Temasya ini diadakan di tempat yang sama seperti pada tahun lepas






JAWAPAN PETIKAN BERITA


BERITA 1

1
D
2
B
3
D
4
B
5
A


BERITA  2

1
A
2
B
3
C
4
C
5
C


BERITA 3

1
C
2
B
3
C
4
D
5
D



Categories:

0 comments:

Minggu Bahasa Melayu 2012

e-Book Panduan Bijak Komputer

Contoh Kertas Soalan BM UPSR