Assalamualaikum & Selamat Sejahtera...

Sekapur Sireh

Assalamualaikum... Salam hormat, pembuka bicara... Blog Cakna Bahasa dicipta dengan tujuan berkongsi apa sahaja yang berkaitan dengan Bahasa Melayu. Sebarang komen dan cadangan daripada anda amatlah diharapkan. Terima kasih.

Monday, 12 November 2012

Posted by jinson on 02:01 No comments

PETIKAN CERITA 1

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.         

          Perut saya mula berkeroncong. Alangkah leganya saya apabila loceng berdering menandakan waktu rehat. Lantas, kami beratur di luar kelas sebelum bergerak ke kantin.

            Di kantin, pelbagai makanan dan minuman dijual dengan harga yang berpatutan. Murid-murid diarahkan oleh beberapa orang pengawas agar beratur ketika membeli makanan. Yang degil pasti diambil tindakan.

            Saya dan rakan-rakan menjamu selera sambil berbual-bual. Suasana begitu riuh-rendah. Terdapat juga sebilangan ibu bapa murid Tahap 1 terutamanya menemani anak-anak mereka di kantin. Kekadang, situasi begini membuatkan ruang dan tempat makan menjadi terhad.

            Pusat sumber juga menjadi tumpuan ulat buku pada waktu rehat. Mereka mengambil peluang untuk menelaah dan mengulang kaji pelajaran. Pustakawan pula sibuk mencatat rekod pinjaman dan pemulangan buku.

            Selain itu, kedai buku sekolah  turut dikunjungi  untuk pelajar yang ingin membeli alat tulis, buku latihan, dan sebagainya. Tandas juga menjadi sesak untuk mereka yang mahu melepaskan ’hajat’ masing-masing.

            Loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah habis. Kami beratur sebelum masuk ke dalam kelas untuk meneruskan pembelajaran.


1          Beri maksud simpulan bahasa ulat buku yang terdapat di dalam petikan.
            A         membuat kerja sekolah
            B          rajin membaca dan mengulang kaji pelajaran     
            C          suka berbincang dengan rakan


2          Apakah tindakan yang sewajarnya diambil kepada murid yang melanggar
            peraturan ketika membeli makanan di kantin?
            A         mereka akan diberi nasihat
            B          mereka tidak akan dibenarkan membeli makanan
            C          mereka akan dibawa berjumpa dengan guru besar
            D         mereka akan dibuang sekolah


3          Pada pukul berapakah peristiwa dalam petikan tersebut berlaku?
            A         8.00 pagi
            B          10.00 pagi
            C          12.00 tengah hari
            D         2.00 petang


4          Sebagai seorang pustakawan, apakah tugas anda ?
            A         membaca buku di pusat sumber
            B          meminjam buku di pusat sumber
            C          merekod pemulangan dan pinjaman buku cerita
            D         merekod pemulangan dan pinjaman buku rujukan


5          Antara berikut, yang manakah tempat yang bukan dikunjungi semasa waktu
           rehat ?
            A         Perpustakaaan
            B          Kedai koperasi
            C          Tandas
            D         Makmal sains



PETIKAN CERITA 2

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.         

            Aku pulang ke kampung untuk menziarahi datuk yang tinggal bersendirian.  Seperti biasa, akulah yang paling tidak gembira apabila emak dan bapaku ingin pulang bercuti ke kampung.  Aku berasa bosan sepanjang berada di kampung.  Di kampung tidak ada televisyen, tidak ada komputer dan paling aku tidak suka ialah Atan.

            Atan, bagi aku ialah seorang yang pengotor.  Aku berasa jijik apabila melihat Atan.  Pakaiannya lusuh dan bertampal-tampal.  Bagiku, Atan tidak layak untuk bergaul denganku walaupun dia anak pak cikku.

            Aku cukup benci apabila emak dan bapaku menyuruh aku tidur dengan Atan.  Sebenarnya, Atan tinggal bersama datuk.  Emak dan bapa Atan miskin, tidak seperti emak dan bapaku. 

            Pada suatu hari, aku bersiar-siar di sekitar kawasan rumah datuk.  Aku tertarik apabila melihat sekuntum bunga yang amat cantik pada pandanganku.  Aku cuba untuk mendapatkan bunga itu.  Pada waktu itu, aku tidak terfikir akan bahaya yang menantiku.

Tiba-tiba, kakiku berasa sakit dan berdenyut-denyut.  Tubuhku juga seperti melayang.  Akhirnya, aku terjatuh.

            Dalam pandangan mata yang berpinar-pinar, aku nampak Atan cuba membantuku.  Atan mengatakan bahawa aku telah dipatuk ular.  Atan mengikat pergelengan kakiku lalu memanggil emak dan bapaku.  Kemudian, aku di bawa ke hospital dengan segera. 

            Doktor berkata bahawa aku bernasib baik kerana bisa ular masih belum meresap ke seluruh tubuhku.  Kini, aku sedar bahawa semua itu tidak akan berlaku tanpa pertolongan Atan.  Andainya Atan tidak membantuku ketika itu, aku tidak tahu apa yang akan terjadi kepadaku.

            Kini, aku telah insaf akan perbuatanku terhadap Atan selama ini.  Aku mohon maaf kepada Atan. Emak dan bapaku berasa gembira apabila melihat kami bermaafan dan berpelukan.  Sejak kejadian itu, aku tidak membenci Atan lagi.


1          Hubungan antara  aku dengan Atan ialah
            A         kawan
            B          jiran
            C          sepupu
            D         adik-beradik


2          Aku tidak suka pulang ke kampung kerana …
            A         kampung datukku terletak di kawasan pedalaman.
            B          Atan tinggal bersama datukku.
            C          datukku tidak suka aku pulang ke kampung.
            D         kampung datukku tiada kemudahan asas seperti rumahku di bandar.


3          Perkataan jijik  dalam petikan bermaksud
            A         berasa benci
            B          memandang rendah
            C          hendak termuntah apabila melihat sesuatu yang kotor


4          Aku terhutang budi kepada Atan kerana …
            A         Atan seorang yang baik hati
            B          Atan sudi untuk memaafkan perbuatanku
            C          Atan telah menyelamatkan aku ketika dipatuk ular


5          Apakah pengajaran yang diperoleh daripada petikan di atas ?
            A         Bersikap baik hati dan tidak berdendam
            B          Sentiasa mengambil tahu akan hal orang lain
            C          Menjadi seorang yang sombong supaya dihormati orang lain
            D         Bersikap mementingkan diri sendiri untuk menikmati kesenangan




PETIKAN CERITA 3

Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

            Yusri menangis sendirian. Perutnya memulas, dia kelaparan. Rakan-rakan yang lain enak menikmati nasi lemak yang berharga enam puluh sen sepinggan di kantin. Dia tetap kelaparan.

Tiba-tiba bahunya disentuh. “Yusri, mengapa kamu tidak pergi makan?” Tanya Nawi.  “Saya … saya kenyang,” tergagap-gagap Yusri menjawab. Akhirnya Nawi memeluk Yusri. Keadaan tubuh yang lemah dan kurus itu menjawab segala persoalan Nawi.
 
Tanpa berlengah Nawi terus mengheret tangan Yusri menuju ke kantin. Dia terus  membelikan sepinggan nasi lemak dan segelas air teh untuk Yusri. Dia terus makan dengan penuh selera. Semasa Yusri menikmati nasi lemak, otak Nawi ligat berfikir. Dia tahu Yusri seorang murid yang otak cair. Namun kemiskinan hidup keluarga banyak menghalang kebolehannya sama ada dalam bidang pelajaran ataupun sukan.

           Beberapa minit kemudian, Nawi berjaya mendapatkan cara terbaik untuk membantu Yusri. Dia bertekad memberitahu guru kelasnya iaitu Cikgu Farah mengenai masalah tersebut. Melalui cara tersebut, dia berharap masalah kawannya dapat diselesaikan.
 
            “Terima kasih kerana memberitahu saya hal tersebut,” itulah kata-kata guru kelasnya setelah Nawi menerangkan masalah Yusri yang selalu kelaparan kepada guru kelasnya. Guru mereka berjanji akan membantu malahan menanam sikap bertanggungjawab sesama rakan sebaya. Sikap Nawi harus kita contohi.

1  Mengapakah Nawi sanggup membantu Yusri?
  
   A  untuk mendapatkan pujian
   B  kerana rasa bertanggungjawab
   C  kerana Yusri ketua kelasnya
   D  dia hendak membalas budi Yusri                                


2 Siapakah yang menyelesaikan masalah Yusri?

   A  Guru Besar sekolah mereka
   B  Semua murid di sekolah itu
   C  Guru kelas mereka
   D  Nawi sahaja                                                                 


3 Berkemungkinan pada pukul berapakah Yusri menangis kelaparan?

   A  10.00 pagi
   B    7.00 pagi
   C    1.00 petang
   D  12.00 tengah hari                                                          


4 Tergagap-gagap bermaksud

   A  lancar
   B   lupa
   C   terhenti-henti
   D  teresak-esak                                                                 


5 Di antara makanan berikut , yang manakah tidak sesuai dimakan pada 
   waktu rehat?

   A  mi rebus
   B  bihun
   C  pisang goreng
   D  makanan ringan





JAWAPAN

            
CERITA 01

01
02
03
04
05
B
A
B
C
D


CERITA 02

01
02
03
04
05
C
D
C
C
A



CERITA 03

01
02
03
04
05
B
C
A
C
D



Categories:

0 comments:

Minggu Bahasa Melayu 2012

e-Book Panduan Bijak Komputer

Contoh Kertas Soalan BM UPSR